MEI 2022

Datuk Amar Douglas Uggah Tetamu Kehormat Sambutan Hari Wesak Sarawak 2022


KUCHING: Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) dengan kerjasama ‘Sarawak Unit For Other Religions Charitable Trust’ dan Malaysia Buddhist Association Sarawak Branch (MBASB) akan menganjurkan sambutan Hari Wesak Sarawak 2022 di Kuil Utama Sarawak Buddhist Association di Jalan Tun Abdul Razak pada Ahad ini.

UNIFOR dalam satu kenyataan media pada Rabu memberitahu, tetamu kehormat sambutan Hari Wesak Sarawak 2022 adalah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Turut dijemput adalah ‘Sarawak Unit For Other Religions Charitable Trust Board of Trustees’ serta ketua institusi-institusi keagamaan lain, jumlah tetamu jemputan pula dihadkan seramai 200 orang sahaja.

Antara program utama yang akan diadakan bersempena Sambutan Hari Wesak adalah aktiviti kempen menderma darah dan upacara memandikan Buddha atau dikenali sebagai “Buddha Bathing” yang akan dilakukan oleh penganut-penganut beragama Buddha.

Sambutan ini bertujuan untuk memupuk persaudaraan dan nilai tolak ansur, saling menghormati dan harmoni antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

Program sama akan dianjurkan pada masa depan dengan kerjasama daripada institusi-institusi kegamaan lain. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS